I wish I could say that I feel like it is all behind me, but that isn't really true. It is still in my thoughts every single day... But I know You are there. I know You see my tears. I know You hear my prayers. I know You will always be at my side. And all I ask from You is to strengthen my faith for me to handle the struggles in life with the help of Your love.

Sunday, 18 December 2011

Kerananya kita berani menempuh kesukaran

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.


Menghadiri majlis aqiqah kembar Zaralea dan Zaranea.
Comel sungguh kembar ini.Apabila marhaban dilagukan, kedua-duanya semakin lena sambil menghisap jari.



Tradisi zaman jahiliah adalah kepala bayi yang baru lahir akan dilumuri darah. Dengan kedatangan Islam dan kelahiran cucu Rasulullah Hasan, baginda mengumandangkan azan di telinga kanannya serta iqamah di telinga kirinya. Pada hari ketujuh, Rasulullah menyembelih dua ekor biri-biri. Baginda turut mencukur rambut Hassan, kemudian menimbangnya dan menyedekah perak seberat rambut itu. Rasulullah mengusap kepala Hasan dengan khalu, wewangian khusus dari kunyit dan bahan-bahan lain.



Al-Afnaf Bin Qias menjawab apabila Khalifah Muawiyah bertanya kepadanya tentang anak :
“Wahai Amirul Mukminin! Adapun anak itu ialah buah hati kita, tulang belakang kita. Kita ini adalah bumi yang lebar tempatnya berpijak, langit tempat mereka berlindung teduh dan bernaung. Kerananyalah berani kita menempuh kesukaran walau bagaimana sulit. Dari itu bila mereka meminta, berikan, bila mereka kecewa, senangkan hatinya agar di balasnya dengan cinta pula dan dihargainya kepayahan kita.”


Namun dalam kita melimpahkan kasih sayang padanya, jangan sesekali kita lupa bahawa mereka adalah amanah Allah buat kita. 
Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya. Apakah mereka telah memeliharanya atau mensia-siakannya.” (Riwayat Ibnu Hibban).

Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa memberi pendidikan untuk anaknya dengan sebaik-baiknya.
Sabda Rasulullah SAW "Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara - mencintai Nabimu, mencintai ahlul baitnya (ahli rumahnya) dan membaca Al Quran kerana orang-orang yang memelihara Al Quran itu berada dalam lindungan singgahsana Allah pada hari tiada perlindungan selain daripadaNya, berserta para nabi dan orang-orang suci. (Riwayat Thabrani)




Monday, 12 December 2011

Jangan marah...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.
Menghadiri Bengkel Menangani Tekanan dan Marah di Masjid Negeri. Ramai juga yang datang. Mari kita berkongsi ilmu...

Marah kalau dipendam, boleh meletup macam belon!
Pengawalan Marah Mengikut Perspektif Islam :
1.     Membaca Ta'awwudz
2.     Mengambil wudhu
3.     Mengubah posisi dari berdiri ke duduk ke berbaring
4.     Memberi maaf dan bersabar
5.     Beristigfar
6.     Berrzikir
7.     Mendiamkan diri
8.     Membaca Al Quran
9.     Bersolat sunat
10.   Berdoa
11.   Bersangka baik dengan Allah
12.   Hargai kelebihan diri

Kalau marah di pejabat, kucing di rumah pun boleh menjadi mangsa
Selain dari itu, untuk membantu dalam penyelesaian masalah dan tekanan, amalkan membaca Al Fatihah, ayat Kursi dan ayat Seribu Dinar selepas solat.

Ayat Seribu Dinar (Surah Al Talaq 2, 3)
Maksudnya:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
 
 Penceramah mengamalkan ayat seribu dinar.
 Banyak masalahnya terungkai dengan cara yang tidak dijangka.


Friday, 9 December 2011

Kami turut merasainya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.
 
Bersama rakan-rakan BCSSNS, aku mengunjungi ibu bapa dan anak kepada pesakit kanser payudara yang telah meninggal dunia pada akhir Syawal yang lepas. Semasa hayatnya, kami telah cuba membantu beliau mendapatkan bantuan kewangan memandangkan beliau adalah seorang ibu tunggal. Namun Allah lebih menyayanginya. Beliau pergi sebelum sempat merasa bantuan tersebut. Hari ini kami serahkan bantuan tersebut kepada ibunya bagi membiayai keperluan persekolahan anak-anaknya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.

Sumbangan kecil dari kami
Kemudian kami pergi pula melawat rakan BCSSNS yang diserang penyakit ini buat kali kedua. Kali pertama beliau mendapatnya pada tahun 2009, namun kini penyakit itu datang kembali. Kali ini, ia menyerang ke bahagian tulang belakangnya menyebabkan beliau tidak mampu untuk bangun dan bergerak. Linangan air mata menggambarkan perasaan hatinya. Aku mendoakan semoga Allah meringankan beban yang ditanggungnya.Sesungguhnya Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Semoga dipermudahkan Allah

Thursday, 8 December 2011

Mahar menjadi syafaat



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Rasulullah bertanya kepada Ali, 'Apakah yang engkau miliki untuk dijadikan mahar bagi menikahi puteriku Fatimah?" Ali mejawab "Demi Allah, tiada urusanku yang tersembunyi darimu wahai Rasulullah. Sesungguhnya aku hanya memiliki pedang, baju besi dan unta."

Lalu Rasulullah berkata " Wahai Ali, engkau harus berjuang membela diri dari musuh-musuh Allah dengan pedang itu. Unta pula kau perlukan untuk mengairi pohon kurma bagi menafkahi keluargamu dan sebagai  keperluan perjalananmu. Juallah baju besi itu dan berikan aku wang tersebut sebagai maharnya.".  Maka Ali menjual baju besi yang sebenarnya adalah hadiah daripada Rasulullah setelah perang Badar.Wang hasil jualan diserahkan kepada Rasulullah.

Fatimah sebelum ini telah pun dipinang oleh dua lelaki hebat dan berharta iaitu Abu Bakar dan Umar namun menerima Ali sebagai suami. Fatimah mengenali Ali sebagai lelaki yang tidak punya apa-apa kecuali cintanya kepada Allah, Rasulullah dan Islam. Faimah berkata kepada Rasulullah "Wahai Rasulullah, gadis-gadis lain  biasanya meminta wang sebagai mahar. Namun aku meminta dengan hormat kepadamu agar memulangkannya dan berdoa kepada Allah agar menjadikan maharku sebagai hak memberi syafaat kepada mereka yang berdosa di kalangan muslimin pada hari kebangkitan."

Saat itu Jibrail turun dengan membawa berita bahawa Allah menetapkan mahar Fatimah az Zahra adalah syafaat bagi mereka yang berdosa dikalangan muslimin.


Friday, 2 December 2011

Kekasih hati ( (I)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Rambutnya... "Rasulullah SAW suka memperbanyakkan minyak rambut, merapikan janggut, serta sering mengenakan penutup kepala sehingga menyerupai pakaian penjual minyak". (Riwayat al Tarmizi, al Baihaqi)

Cara makannya... " Rasulullah makan dengan menggunakan tiga jari. Baginda akan menjilat jarinya setelah selesai makan". (Riwayat al Tarmizi, Abu Faud, Ahmad)

Pakaiannya... "Panjang lengan baju Rasulullah SAW hingga ke pergelangan tangan" (Riwayat al Tarmizi, al Nasa'i, abu Daud)

Rupanya... "Rasulullah SAW ialah orang yang berkulit putih kemerah-merahan. Keringat yang menitis dari wajahnya bagaikan mutiara. Aku tidak pernah melihat hal itu, baik sebelum mahupun sesudahnya". (Riwayat Ahmad)

Cincinnya... "Cincin Rasulullah SAW dibuat daripada perak, sedangkan mata cincinnya adalah batu hitam Habsyi". (Riwayat al Tarmizi, Muslim, al Nasa'i, Ahmad, Ibn Majah)

Cincin perak berbatu hitam

Wednesday, 30 November 2011

Sutrah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Sabda Rasulullah SAW "Ketika salah seorang dari kamu solat, hendaklah dia solat di belakang sutrah (pembatas) dan mendekatinya. Jangan hingga dia membiarkan orang lain melalui antara dia dan pembatas".

Sabda Nabi Muhammad SAW lagi "Apabila seseorang kamu ingin bersolat, hendaklah dia meletakkan di hadapannya sesuatu. Sekiranya tiada,letaklah tongkat. Sekiranya tiada, buatlah satu garisan kemudian tiada lagi mudarat sesiapa yang lalu di hadapannya."

Sutrah bermaksud sesuatu objek yang dijadikan sebagai penghadang atau sempadan kawasan solat. Sutrah   boleh menggunakan apa-apa objek di depan arah kiblat seperti kain, tongkat, atau tiang dan boleh juga dengan membuat garisan.Tinggi pembatas adalah seukuran dengan arah bawah orang yang solat iaitu lebih kurang sejengkal.Jarak pembatas dengan kedua-dua kaki adalah lebih kurang tiga hasta iaitu kira-kira cukup untuk seseorang sujud.Pembatas bagi imam adalah juga pembatas bagi makmum.

Hikmahnya adalah bertujuan untuk memusatkan pemikiran orang yang sedang solat, tanpa diganggu dengan lalu-lalang orang lain. Selain itu ia bertujuan memberi tanda bahawa orang itu sedang solat.

Seringkali orang solat tanpa meletakkan sutrah atau pembatas sedangkan ini adalah satu cara mudah untuk melakukan sunah Rasulullah SAW beberapa kali setiap hari samada semasa solat fardu atau pun solat sunat seperti solat sunat rawatib, tahajjud, dhuha dan sebagainya.Selain itu, ia juga satu cara mengelak melakukan dosa ketika melintas di hadapan orang yang sedang solat.


Sabda Rasulullah SAW " Sekiranya seorang yang melalui di hadapan orang yang bersolat itu mngetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) , nescaya untuk beliau berhenti selama 40 tahun adalah lebih baik baginya daripada meneruskan lalu di hadapan orang solat ini."


Tiang boleh dijadikan sutrah



Tuesday, 22 November 2011

Ilmu yang kekal


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Semasa usia menginjak 40 tahun, baginda Rasulullah SAW semakin banyak mengasingkan diri di Gua Hira'. Pada tahun ketiga mengasingkan diri iaitu pada tanggal hari Isnin 21 Ramadhan Allah menurunkan Jibril untuk menyampaikan wahyuNya yang pertama. Wahyu ini diturunkan kepada baginda dalam jangka masa 23 tahun.
 

Proses penurunan wahyu adalah melalui beberapa cara
1)   Mimpi yang benar
2)   Jibril memasukkan wahyu ke dalam dada dan hati naluri Rasulullah SAW tanpa terlihat
3)   Jibril mendatangi Rasulullah dengan menjelma sebagai seorang lelaki dan berbicara secara langsung sehingga  Rasulullah menyedari dan mengingat segala yang dikatakannya itu. Para sahabat pun kadang kala dapat  melihatnya.
4)   Wahyu datang kepada Nabi menyerupai bunyi gemerincing loceng. Ini adalah wahyu terberat yang baginda rasakan dan malaikat tidak terlihat oleh pandangan  mata Rasulullah SAW.
5)   Nabi melihat malaikat Jibril dalam rupanya yang asli.
6)   Wahyu diturunkan tanpa hijab sebagaimana yang diwahyukan semasa peristiwa Isra Mi'raj.
7)   Allah SWT berfirman secara langsung kepada Rasulullah SAW tanpa perantaraan Jibril.