I wish I could say that I feel like it is all behind me, but that isn't really true. It is still in my thoughts every single day... But I know You are there. I know You see my tears. I know You hear my prayers. I know You will always be at my side. And all I ask from You is to strengthen my faith for me to handle the struggles in life with the help of Your love.

Thursday, 26 January 2012

Belalai gajah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Biasanya bila ada kelapangan, pada hujung minggu akan pergi ke ladang herba bagi mendapatkan bekalan daun belalai gajah atau sabah snake grass. 


Sebekas ini harganya RM25
Ini beberapa maklumat mengenai tumbuhan ini yang tertulis pada risalah yang diperolehi.
Nama saintifik  :  Clinacanthus nutans
Nama biasa  :  Pokok belalai gajah / sabah snake grass/ pokok mulut buaya/Drooping Clinacanthus
Kegunaan  : Anti kanser, radang paru-paru, jaundis, hepatitis


Pokok yang matang
Cara penggunaan :
1.  Kunyah antara 30 ke 40 helai daun sehari.
2. 30 ke 40 helai daun + sebiji epal hijau + setengah gelas air dan di blend. Minum 2 kali sehari samada sebelum atau selepas makan.


Boleh dimakan begitu saja
Maklumat tambahan cara penggunaannya, aku dapat dalam blog yang lain.
1. Kanser tahap 1 - 30 helai daun setiap hari
    Kanser tahap 2 - 50 helai daun setiap hari
    Kanser tahap 3 - 100 helai daun setiap hari
    Kanser tahap 4 - 150 helai daun setiap hari
2. Satu cawan air + setengah biji jus lemon + daun belalai gajah (seperti bilangan di atas) + sebiji epal hijau + ais (jika mahu). Blend dan minum.


Anak pokok dijual dengan harga RM10
Kalau berminat, boleh dapatkan disini.
YPL Healthcare Product Sdn Bhd
No 44 Taman Perniagaan Senawang
70450 Seremban


atau terus ke ladangnya seperti alamat berikut.
Pusat Pertanian Pantai Baru,
Jalan Pantai Batu 7,
71771 Pantai,
Negeri Sembilan

Telefon : 06 677 3085
Waktu operasi  : 10.00 am ke 5.00 pm




Cubalah... rasanya ok aje. Tak pahit pun. Aku suka makan dengan nasi dan jadikannya sebagai ulam!

Saturday, 21 January 2012

Malaikat mendoakan mereka

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Malaikat merupakan makluk Allah yang diciptakan tanpa mempunyai nafsu. Sebaliknya malaikat dicipta untuk sentiasa tunduk, patuh dan mentaati Allah SWT semata-mata.Oleh itu, manusia yang mempunyai pelbagai kelemahan dan keperluan, sudah pasti sangat mengharapkan agar termasuk dalam golongan yang didoakan para malaikat.




1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
     -Sabda Rasulullah SAW ' Sucikanlah badan kalian, semoga Allah mensucikan kalian. Tidaklah seorang hamba bermalam (tidur) dalam keadaan suci kecuali para malaikat akan bersamanya dalam pakaiannya. Tidaklah dia membalikkan badannya sesaat pun ketika tidur kecuali malaikat akan berkata " Ya Allah, ampunilah hambaMu ini. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang berada di saf hadapan.
     -Rasulullah SAW bersabda 'Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat untuk orang di saf pertama."


3.Orang yang memenuhkan saf.
     -Rasulullah SAW bersabda 'Sesungguhnya Allah SWT dan para malaikatNya berselawat kepada orang yang menyambung saf dan Allah mengangkat darjat sesiapa menutup kekosongan pada saf, .'


4.Mengucap 'Ameen' bertepatan dengan ucapan 'Ameen' malaikat.
     -Sabda Rasulullah SAW ' Jika Imam menyebut "Ameen", sebutlah "Ameen". Sesungguhnya barangsiapa yang sebutan ameennya bertepatan dengan ameen para malaikat, maka diampunkan dosanya yang lalu'.


5.Orang yang duduk di tempat solatnya selepas menunaikan solat.
     -Rasulullah SAW bersabda 'Para malaikat berselawat ke atas kalian selama dia masih tetap di tempat duduknya yang menjadi tempat solat. Mereka mengucapkan "Ya Allah, sayangilah dia. Ya Allah, berikanlah keampunan kepadanya. Ya Allah ampunilah dia, selama dia tidak menganggu dan tidak berhadas."


6. Orang yang ternanti-nanti waktu solat.
     -Rasulullah SAW bersabda 'Tidaklah salah seorang dari kalian yang duduk menunggu solat, selama dia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya "Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah sayangilah dia."


7.Orang yang melakukan solat subuh dan asar secara berjemaah.
     -Sabda Rasulullah SAW 'Silih berganti datang kepada kamu malaikat malam dan malaikat siang, mereka berkumpul pada waktu solat Fajar dan solat Asar.Kemudian naiklah malaikat yang telah bermalam padamu, lalu Allah bertanya kepada mereka "Bagaimana kamu meninggalkan hamba-hambaKu?" Mereka menjawab"Kami meninggalkan mereka sedang bersolat dan kami datangi mereka pun sedang mengerjakan solat, ampunkanlah mereka pada hari pembalasan."




8.Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
     -Sabda Rasulullah SAW 'Setiap muslim yang mendoakan saudara seagamanya tanpa pengetahuan mereka, pasti akan didoakan malaikat dengan berkata "Engkau juga akan mendapat seumpamanya."


9. Orang yang membelanjakan harta (infaq).
     -Sabda Rasulullah SAW ' Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun padanya, satu antaranya berkata "Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfaq."


10.Orang yang sedang makan sahur.
     -Rasulullah SAW bersabda 'Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikatNya sentiasa berdoa kepada orang yang bersahur.'




11.Orang yang melawat orang yang sakit.
     -'Sesiapa yang mendatangi saudaranya (yang sedang sakit) untuk menjenguknya, maka dia seperti berjalan di taman syurga sampai dia duduk. jika dia telah duduk, maka dia akan diliputi rahmat. Apabila seseorang menjenguknya pada pagi hari maka tujuh puluh ribu malaikat akan berselawat padanya sampai petang hari.Apabila seseorang menjenguknya pada petang hari maka tujuh puluh ribu malaikat akan berselawat padanya sampai pagi hari.

Thursday, 12 January 2012

Berakhirnya hidup manusia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.


Telah dua hari berturut-turut aku menghadiri majlis tahlil. Malam pertama, majlis tahlil buat arwah bapa kepada jiran yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru. Manakala yang kedua adalah buat arwah seorang pesakit kanser payudara. Menghadiri majlis seperti ini mengingatkan aku kepada ajal yang pasti akan tiba pada bila-bila masa sahaja nanti.



Apabila ajal semakin hampir... Rasullulah menyampai pesanan di dalam khutbah terakhirnya. “Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNya. Maka taati dan bertaqwalah kepadaNya. Aku wariskan dua perkara pada kalian iaitu Al Quran dan sunnah. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-samaku".

Saatnya Izrail melakukan tugas... dengan lembut roh Rasulullah ditarik. Seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang."Jibril, betapa sakitnya sakaratul maut ini". Perlahan Rasulullah mengaduh sehingga Jibril memalingkan muka. "Jijikkah kau melihatku sehingga kau memalingkan wajahmu wahai Jibrail?" soal Rasulullah. Namun dijawab oleh Jibril "Siapakah yang sanggup melihat kekasih Allah dicabut nyawanya?”.
 
 Ketika tiba saatnya...'Ya Allah, dahsyat sungguh rasanya sakratul maut. Timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku" kata-kata yang lahir ketika menahan sakit yang tidak tertahan. Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar membisikkan  “Peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.”

 Fatimah menutupkan tangan di wajahnya kerana kesedihan, dan Ali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mengeluarkan kata-kata, “Ummatii, ummatii, ummatiii” – “Umatku, umatku, umatku…” Dan, berakhirlah hidup manusia mulia pilihan Allah.


Tuesday, 10 January 2012

Pangkat disisi Pencipta

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Innalillahiwainnailaihirojiun.

Hanya itu yang dapat aku lafazkan ketika mendengar berita dari seorang rakan BCSSNS.


Masih aku ingat ketika aku berada di hospital, dia lah rakan senasib yang pertama kali menjenguk dan memberi kata-kata semangat buat diriku yang sedang mencari-cari insan untuk aku berkongsi rasa.Walau pun itu pertemuan pertama kami, namun terasa bagai sudah lama mengenalinya. Mungkin ini adalahn kerana wujudnya satu titik persamaan antara kami.


Hari ini dia menghubungiku untuk berkongsi dukanya pula. Dia mendapat serangan kali kedua. Kali ini sel kanser telah menyerang ke tulang dadanya.Yang menyedihkan, dia telah lama mengesan kelainan dan memaklumkan kepada doktor namun doktor mengatakan apa yang dirasainya itu tidak akan membawa sebarang kemudaratan.


Akhirnya siapa yang akan menanggung penderitaan itu? Diri sendiri lah juga! Namun aku yakinkan dirinya bahawa segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. Umpamanya ramai yang mengatakan padaku yang sayang sungguh penyakit ini menyapa ketika peluang kenaikan pangkat begitu terbuka buat aku. Namun apa yang ku harapkan kini ini adalah kenaikan pangkat disisi Penciptaku.  

Wednesday, 21 December 2011

Rahmatilah aku dengannya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Alhamdulillah. Hari ini terasa bahagia kerana sekali lagi dapat mengkhatam Al Quran. Mari kita hayati doa khatam Al Quran yang amat indah ini.


Doa Khatam Quran

Dimulai dengan Nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam sebagai pujian daripada orang yang bersyukur dan kesudahan yang baik bagi orang bertaqwa. Solat dan salam ke atas Rasul kami, Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga dan sekalian para sahabatnya.


Ya Allah, Ya Tuhanku! Rahmatilah aku dengan Al-Quran dan jadikanlah Al-Quran bagiku sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat. Ya Allah, Ya Tuhanku! Ingatkanlah aku apa yang aku terlupa daripada ayat-ayat Al-Quran. Ajarkanlah aku daripada Al-Quran apa yang belum aku ketahui. Berikanlah aku kemampuan membacanya sepanjang malam dan siang; dan jadikanlah Al-Quran itu hujah dan bagiku (untuk menyelamatkan daku di akhirat), wahai Tuhan Sekalian Alam.


Ya Allah, Ya Tuhanku! Perbaikilah agamaku yang merupakan pengawal urusankanku. Perbaikilah duniaku yang merupakan tempat hidupku. Perbaikilah akhiratku yang merupakan tempat kembaliku; dan jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah kematian sebagai istirahat bagiku daripada segala kejahatan.


Ya Allah, Ya Tuhanku! Jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amal pada penyudahannya dan sebaik-baik hariku hari bertemu dengan-Mu.


Ya Allah, ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu kehidupan yang tenang, kematian dalam kebenaran dan tempat kembali yang tidak terhina lagi buruk keadaannya.


Ya Allah, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu sebaik-baik permohonan, sebaik-baik doa, sebaik-baik kejayaan, sebaik-baik ilmu, sebaik-baik amal, sebaik-baik ganjaran, sebaik-baik kehidupan, sebaik-baik kematian. Tetapkanlah (kakiku di atas sirat-Mu) serta beratkanlah timbanganku. Perkuatkanlah imanku dan tingkatkanlah darjatku serta terimalah solatku. Ampunkanlah kesalahan-kesalahan dan aku memohon kepada-Mu tempat tertinggi dari syurga-Mu.


Ya Allah, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu apa-apa yang mewajibkan rahmat-Mu, juga apa-apa yang memastikan keampunan-Mu, keselamatan daripada segala dosa, keuntungan daripada segala kebaikan, kemenangan dengan syurga dan pelepasan daripada api neraka.


Ya Allah, Ya Tuhan kami! Perbaikilah akibat dari setiap urusan kami, hindarkanlah kami daripada kehinaan dunia dan azab akhirat.


Ya Allah, Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kami rasa takut kepada-Mu, agar dengannya dapat menghalang kami dari melakukan maksiat, kurniakanlah kami ketaatan kepada-Mu, agar dengannya akan mendekatkan kami dengan syurga-Mu, kurniakanlah kami keyakinan yang dapat meringankan musibah dunia yang menimpa kami, berikanlah kami nikmat pendengaran, penglihatan dan kekuatan, selama Engkau masih berikan kehidupan buat kami, dan jadikanlah semua itu warisan kami, balaslah orang yang berbuat zalim terhadap kami, bantulah kami dalam menghadapi musuh-musuh kami, janganlah Engkau timpakan musibah dalam agama kami, janganlah Engkau jadikan dunia ini tujuan utama kami, jangan pula Engkau menilai pengetahuan kami serta janganlah Engkau jadikan orang yang tidak mempunyai rasa belas kasihan kepada kami menjadi pemimpin kami.


Ya Allah, Ya Tuhan kami! Jangan Engkau biarkan kami melakukan sebarang dosa melainkan Engkau mengampunkannya, jangan biarkan kami dalam kebuntuan melainkan Engkau melapangkannya, jangan biarkan kami mempunyai hutang piutang melainkan Engkau (berikan jalan untuk) menyelesaikannya dan jangan ada sebarang hajat dunia mahupun akhirat melainkan Engkau menyempurnakannya, wahai Tuhan Yang Maha Penyayang antara yang penyayang.


Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada azab neraka.


Selawat Allah dan salam yang tidak terhingga ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya serta para sahabat yang terpilih.


Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Monday, 19 December 2011

Bersama BCSSNS

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Menjadi yang pertama sampai di Hospital Tuanku Jaafar untuk bersama BCSSNS bagi membantu rakan-rakan yang memerlukan. Wakil dari Amanita tiba tidak lama kemudian untuk membuat pengukuran prostesis dan penerangan penjagaannya. Tidak ramai yang mahu membantu melaksanakan tugas ini kerana semuanya perlu dilakukan tanpa mendapat ganjaran yang nyata.





Setiap minggu sekurang-kurangnya dua pembedahan dilakukan berkaitan dengan masalah kanser. Hampir 50% adalah kanser payudara. Menurut seorang doktor pakar HTJ, kes pesakit paling muda yang dikendalinya adalah gadis berusia 20 tahun. Semasa menziarah pesakit di wad, kami juga telah bertemu pesakit kanser usus tahap 4 yang berusia 19 tahun! 



AJK BCSSNS kemudiannya bersama-sama membantu mengedarkan prostesis, menyampaikan bantuan kewangan dan mendaftar ahli-ahli yang baru.Puas rasanya apabila melihat kegembiraan mereka yang mendapat bantuan.

Sunday, 18 December 2011

Kerananya kita berani menempuh kesukaran

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.


Menghadiri majlis aqiqah kembar Zaralea dan Zaranea.
Comel sungguh kembar ini.Apabila marhaban dilagukan, kedua-duanya semakin lena sambil menghisap jari.



Tradisi zaman jahiliah adalah kepala bayi yang baru lahir akan dilumuri darah. Dengan kedatangan Islam dan kelahiran cucu Rasulullah Hasan, baginda mengumandangkan azan di telinga kanannya serta iqamah di telinga kirinya. Pada hari ketujuh, Rasulullah menyembelih dua ekor biri-biri. Baginda turut mencukur rambut Hassan, kemudian menimbangnya dan menyedekah perak seberat rambut itu. Rasulullah mengusap kepala Hasan dengan khalu, wewangian khusus dari kunyit dan bahan-bahan lain.



Al-Afnaf Bin Qias menjawab apabila Khalifah Muawiyah bertanya kepadanya tentang anak :
“Wahai Amirul Mukminin! Adapun anak itu ialah buah hati kita, tulang belakang kita. Kita ini adalah bumi yang lebar tempatnya berpijak, langit tempat mereka berlindung teduh dan bernaung. Kerananyalah berani kita menempuh kesukaran walau bagaimana sulit. Dari itu bila mereka meminta, berikan, bila mereka kecewa, senangkan hatinya agar di balasnya dengan cinta pula dan dihargainya kepayahan kita.”


Namun dalam kita melimpahkan kasih sayang padanya, jangan sesekali kita lupa bahawa mereka adalah amanah Allah buat kita. 
Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya. Apakah mereka telah memeliharanya atau mensia-siakannya.” (Riwayat Ibnu Hibban).

Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa memberi pendidikan untuk anaknya dengan sebaik-baiknya.
Sabda Rasulullah SAW "Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara - mencintai Nabimu, mencintai ahlul baitnya (ahli rumahnya) dan membaca Al Quran kerana orang-orang yang memelihara Al Quran itu berada dalam lindungan singgahsana Allah pada hari tiada perlindungan selain daripadaNya, berserta para nabi dan orang-orang suci. (Riwayat Thabrani)